Saturday, August 1, 2009

Ancaman Cyanide

Ancaman Cyanide Yang Digunakan Dalam Proses Pemisahan Emas di Bukit Koman di Negeri Pahang

Seramai 3, 000 penduduk di Bukit Koman di Kawasan Raub, Negeri Pahang merasa amat risau terhadap perlombongan dan proses pemisahan emas yang dijalankan oleh Raub Australian Gold Mining Sendiran Berhad yang menggunakan cyanide. Tapak perlombongan tersebut adalah lebih kurang 300 meter dari kawasan kediaman mereka di Bukit Koman.

Cyanide merupakan sejenis bahan kimia yang bahaya kepada kesihatan manusia dan ia akan mengakibatkan keguguran bayi dalam kandungan. Orang yang didedahkan kepada bahan kimia ini akan menghadapi penyakit sakit kepala, nausea, kesusahan untuk bernafas, kekeliruan, seizures, koma and penyakit jantung.

Beberapa kajian terhadap cyanide membuktikan bahawa penggunaan cyanide secara meluas telah menjejaskan kesihatan ramai orang di Kanada, Romania, Guyana, Kyrgyzstan dan Papua New Guinea.

Sehubungan dengan itu, kerajaan Negeri Pahang telah mengumumkan cadangan projek Empangan Klau yang bernilai RM3 billion di bawah Projek Pemindahan Air di Antara Negeri Pahang-Selangor (ISRWT) di Raub. Ramai penduduk di kawasan Raub dan juga pertubuhan alam sekitar merasa bimbang bahawa cyanide yang digunakan oleh syarikat perlombongan tersebut akan meresap ke dalam aliran air bawah tanah, dan menjejaskan kebersihan dan ketulinan bekalan air di empangan tersebut.

Saya difahamkan bahawa para penduduk di Bukit Koman telah berjumpa dengan Ahli Parlimen Raub dan ADUN Teras berkenaan dengan kebimbangan mereka terhadap penggunaan cyanide oleh Raub Australian Gold Mining. Apakah masalah dan kebimbangan penduduk-penduduk ini telah disampaikan kepada pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar?

Persoalan saya adalah, apakah syarikat Raub Australian Mining Sdn Bhd telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Alam Sekitar untuk menggunakan cyanide dalam aktiviti perlombongan dan proses pemisahan emasnya?

Memandangkan kawasan Raub mempunyai 80,000 orang penduduk dan aktiviti penggunaan cyanide dalam proses pemisahan emas ini akan menjejaskan nyawa dan kesihatan beribu-ribu orang di Raub, dan berkemungkinan akan mencemarkan aliran air bawah tanah yang mengalir ke Empangan Klau, apakah langkah yang diambil oleh Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kesihatan untuk mempertahankan nyawa dan kesihatan berjuta-juta penduduk di Pahang dan Selangor yang menggunakan air tersebut?

1 comment: